Pemimpin yang naik secara tidak wajar akan diturunkan secara tidak wajar juga. Kepimpinan yang diwawujudkan dengan cara menebar keculasan, menanam kebencian dan menabur fitnah, akan menuai badai penghinaan di akhir kepimpinannya. Tak hanya dirinya tetapi juga orang sekitarnya yang mendukung kepimpinan itu.
Dalam kerangka kaedah inilah, sejarah kebesaran Fir’aun boleh diambil iktibar. Jelas Fir’aun itu zalim, amoral, sombong, tak ada yang mengingkari sehingga sanggup mengaku dirinya sebagai Tuhan. Tapi kedudukan Fir’aun tidak terdiri dengan sendirinya. Fir’aun menjadi raja bahkan “tuhan” kerana ada yang mahu menjadi hambanya.
Selain sokongan dari Perdana Menteri Haman yang bersedia melaksanakan segala perintah Fir’aun, ia juga didukung oleh para ahli sihir yang siap berkhidmat untuknya. Tidak hanya itu, rakyat juga dengan segenap jiwa dan raga menghamba dan menganggapnya sebagai “tuhan”.
Kerana itu di dalam Islam, kita tidak dibenarkan memburu jawatan pemimpin. Kepemimpinan itu lahir secara alami, tidak boleh dipaksa.
Orang yang berkeras ingin diangkat menjadi pemimpin akan cenderung mempertahankan kepemimpinannya dengan cara apapun ketika berkuasa. Kerana itu, kita tidak seharusnya terburu-buru menyokong orang yang mengejar kedudukan seperti ini. Apatah lagi jika kedudukan itu berhubungan langsung dengan keperluan rakyat jelata.
Rasulullah SAW pernah menolak Abu Dzar Al-Ghifari yang menawarkan dirinya untuk memegang jawatan tertentu. Baginda menganggap Abu Dzar tidak sesuai memegang jawatan itu.
Di sinilah, kepentingan rakyat berperanan. Kalau kini kita menemui banyaknya pemimpin immoral, itu kerana pilihan kita. Kalau saat ini kita dipimpin oleh yang lemah, tak berani membawa perubahan kepada rakyat, itu pun lantaran pilihan kita.
Dua kondisi ini memang sering menghampiri kita. Kita dihadapkan pada pilihan untuk memilih pemimpin yang kuat tapi zalim atau pemimpin yang baik tapi lemah. Pada kondisi ini, pilihan kedua lebih kecil mudhoratnya. Kerana kelemahan itu boleh digagahkan. Berbeza dengan pemimpin yang zalim. Syaratnya mudah, para bawahan perlu berani memberikan dukungan dan sokongan untuk mewujudkan perubahan.
Ya, hidup ini pilihan. Bagaimana kita memilih pemimpin, begitulah kita dipimpin. Bagaimana kondisi kita, begitulah bentuk dan rupa pemimpin kita.
No comments:
Post a Comment