Maka tersebutlah al-kisah si kawan cina mualaf ini pun mencari ke sana ke mari supaya dapat berjumpa dengan seorang guru agama yang dapat membimbingnya ke jalan siratul mustakim. Mencari kawan kita ke sana ke mari, dan akhirnya dapat jumpa juga seorang ustaz yang diharapnya dapat memberi jawapan kepada segala kemusykilan agamanya.
Maka bertanyalah kawan cina mualaf kita kepada ustaz yang ditemuinya.
‘Ustaz, saya ada soalan sikit. Ini saya ada dengar orang sebut-sebut kita ni ahli sunnah wal jamaah. Saya agak keliru sikit, ustaz. Saya ingat orang yang masuk Islam namanya Muslim. Kenapa pula dia disebut ahli sunnah wal jamaah?’
‘Yang tu?’ Ustaz kita diam seketika. Kemudian dia bersambung,’ Yang tu, senang sahaja. Orang yang baru masuk Islam, nak jadi saudara baru, dia kena buat apa yang patut dia buat. Kalau tak, tak sah pula Islamnya…..’
‘Buat apa, ustaz?’ Ternampak lebih keliru si kawan cina mualaf kita ini.
‘Buat le….apa orang Melayu panggil sunat. Buat secara ramai-ramai. Itulah yang dipanggil ahli sunnah wal jamaah.’
‘Eh, pelik jawapan ustaz ni. Saya agak keliru lah. Tapi tak pe, ustaz. Saya ada soalan lain. Ini lepas masuk Islam, kena letak nama Melayu ke? Tak boleh ke kita kekal nama asal cina kita?’
‘Yang tu…hmmm…ah ,macam ni lah. Tak payah susah-susah,’ kata ustaz kita sambil cuba menenangkan keresahan yang semakin tercorak di muka kawan mualaf kita.
‘Kalau nama you Ah Kee, panggil saja Akeelah. Kalau Ah John, panggil saja Johan. Kalau Ah Ming, panggil saja Yamin, kalau…..’
‘Kalau macam nama saya, Ah Tan, panggil apa pula…..’ mencercah kawan mualaf kita.
‘Hmmm….Ah Tan…..tak kan nak panggil syai-TAN pula….’ Kata ustaz pada dirinya.
‘Tak pe lah, ustaz. Ini, saya nak tanya lagi. Tak lama lagi dah nak puasa. Boleh ke kalau tengah-tengah puasa siang hari, kita ucapkan Selamat Berbuka pada kawan kita?’
‘Selamat Berbuka? Hai, Ah Tan, Kalau kat Malaysia, bila berjumpa dengan kawan Muslim kita, ucap Selamat Berbuka saja tak cukup……..’
‘Tak cukup? Apa lagi nak ditambah, ustaz?’
‘Ha…kalau jumpa kawan Muslim, kata kat dia : Selamat Berbuka dan Berhari Raya….sebab kat Malaysia, berbuka tu sama saja dengan berhari-raya……’
Ah Tan mula menggaru kepalanya. Walaupun wajahnya kelihatan amat keliru, namun keinginannya untuk bertanya terus membuatnya untuk menyoal ustaz kita.
‘Ini, ustaz…..masa hari-raya, kita kena sembahyang raya, kan? Masa sembahyang, kita kena itu takbir. Lepas takbir…..kena sebut bacaan arab….tapi ustaz, saya belum boleh sebut bacaan arab…apa saya boleh buat?’
‘Kan agama tu mudah,’ ustaz kita jawab. ‘Kalau tak boleh baca arab, baca cina sajalah……’
‘Baca cina? Macam mana pula tu ustaz?’
‘Bacalah….kong si, kong si, kong si, ni, kong hee fatt choy tahun ini……’
‘Eh, tak pernah dengar benda-benda yang ustaz dah sebut ni semua. Ini semua yang ustaz sebut, ustaz ikut mazhab mana, ustaz?’
‘Mazhab mana?......Hmmm…..ustaz pun tak tahu…tapi ustaz pernah dengar orang kata, mazhab yang ustaz ikut ini mazhab songsang……'
SEKIAN TAZKIRAH KITA UNTUK KALI INI
Ustaz Yamin Cheng
No comments:
Post a Comment