Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat untuk mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah.
Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan diseru pada hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita. Menurut Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat pada waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau larang ia tidur pada waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”. Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti seperti hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:
“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui Tuhannya nanti, ia akan gembira kerena puasanya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)
Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang dalam mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan. Memang puasa memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah dengan janji Allah melalui lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat bagi kita. Kita mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki.
Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan memperoleh syafaat dari puasa yang kita kerjakan.
Prof Dr Omar Yaakob
"Ramadhan...bermulanya suatu perubahan"
No comments:
Post a Comment