Di saat saya terfikirkan tajuk untuk entry ini, teringat balik zaman sekolah rendah dulu bila saya belajar tentang bahasa kiasan contohnya, cantik laksana bidadari, gemuk macam badak, hitam seperti arang dll.
Bahasa-bahasa kiasan ini biasanya kan menggunakan perkataan -perkataan seperti umpama, bagai, laksana, macam, seperti dll untuk menguatkan dan menjelaskan lagi maksud sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, gemuk macam badak. Badak digunakan di sini untuk menguatkan lagi statement gemuk itu kerana badak itu sendiri memanglah secara lahiriahnya dilahirkan sebagai haiwan yg gemuk. (hatta cucur badak pun gemuk, hihi).
Ok. entry kali ni bukanlah saya buat tutorial bahasa melayu ke ape kan, tapi cuba perhatikan balik tajuk entry di atas. Ikhlas bagaikan susu. Ape kaitan susu dan ikhlas? Kalau badak memanglah jelas kepada bahawa badak itu gemuk dan arang itu hitam, tapi bagaimana pula dengan susu? Ikhlaskah susu? Bukankah ikhlas itu lahir dari hati dan susu mana ada hati kan??
Susu yang murni
Susu yang murni
Hurm... macam ni, ikhlas itu bererti kita mengkhususkan segala perbuatan kita hanya kepada Allah semata-mata dan melupakan sebarang pandangan manusia dalam setiap amal perbuatan kita. Maksudnya di sini, ikhlas itu hadir bila bila kita membuat sesuatu amalan itu hanya untuk Rabb yang maha esa, dan kita langsung tidak mengharapkan sebarang pujian atau takutkan makian manusia. Solely kerana Allah semata, tidak bercampur dengan tujuan-tujuan lain.
Begitu jualah susu. Di dalam al-Quran, Allah menceritakan perumpamaan yg indah untuk keikhlasan.
"Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada di dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya." [An-Nahl:66]
Dari bahagian mana susu itu keluar dari binatang ternak? Sudah tentulah, dari tempat yang antara darah dan tahi keluar, maka keluarlah susu yang bersih lagi menyegarkan. Bahkan sangat bagus untuk manusia dan anak-anak binatang tersebut.
Pernahkah kita meminum susu dan mendapati susu yang kita minum itu bercampur dengan setitis darah mahupun tahi? Mestilah tak pernah kan....yucks! Sedangkan susu itu sendiri datangnya dari tempat yang sama dengan kedua-dua darah dan tahi, tapi tak pernah pula susu yang kita dapati itu bercampur dengan kotoran tersebut. Begitulah hebatnya ciptaan Allah dan betapa penyayangnya Allah itu memberi suatu nikmat yang cukup besar buat hamba-hamba-Nya.
Sepatutnya, macam itu jugalah amalan kita. Setiap amal yang kita lakukan itu hadir dengan niat yang ikhlas untuk mendapat redha Allah semata-mata. Tidak bercampur dengan anasir-anasir luar yang mengotorkan kesucian sesuatu amalan tersebut. Sedangkan Allah sendiri memberi kita susu yang murni dan tidak bercampur, maka adakah pantas bagi kita memberi-Nya amalan yang tercampur?
Mari mensucikan setiap amal perbuatan kita buat-Nya, sejernih dan semurni susu.
Wallahu'alam.
Copy dari: